Obesiti... Adakah anda tergolong dalam golongan ini?
Obesiti merupakan pengumpulan lemak berlebihan yang menimbun di dalam badan seseorang. Obesiti kini dianggap sebagai satu penyakit dan terjadi apabila tisu-tisu lemak menjadi keterlaluan. Lebih teruk lagi, obesiti boleh mengganggu dan mencederakan organ-organ badan dan seterusnya akan menyebabkan masalah kesihatan yang serius. Selain daripada mengehadkan kegiatan fizikal dan sosial, jangka hayat penghidapnya juga semakin pendek. Tidak semua orang yang obes makan lebih banyak daripada jumlah yang dimakan oleh individu yang berat tubuhnya normal, tetapi yang pastinya ilah orang obes makan lebih banyak daripada apa yang diperlukan oleh tubuhnya. Cara terbaik untuk mengetahui samada seseorang itu obesiti atau tidak adalah melalui Indeks Tubuh keseluruhan(BMI).
Menteri Kesihatan Datuk Chua Jui Meng berkata , kajian mendapati hampir 3 juta rakyat Malaysia mengalami masalah kegemukan atau obesiti pada tahun 2000. Kegemukan di kalangan kaum India sebanyak 25.6 peratus diikuti Melayu sebanyak 22.4 peratus dan Cina 19.5 peratus.Pusat penjagaan kesihatan - The Weight Management Information Center (WMIC) ditubuhkan bertujuan memberi pendedahan kepada orang ramai mengenai berat badan yang sihat melalui aktiviti fizikal, pemakanan yang sihat dan pengendalian berat badan untuk jangka masa panjang.
Apakah punca-puncanya?
Secara saintifiknya obesiti terjadi akibat pengambilan kalori yang tinggi melebihi daripada keperluan harian. Pengambilan kalori adalah berbeza-beza mengikut individu, individu yang bekerja di sektor pembinaan mempunyai keperluan kalori yang tinggi berbanding pekerja di pejabat. Individu yang telah berumur 66 tahun perlu mengurangkan pengambilan kalori berbanding dengan peringkat remaja. Berikut adalah faktor utama penyebab obesiti:
a)Genetik atau keturunan
Obesiti merupakan penyakit kronik yang mempunyai perkaitan langsung dengan faktor keturunan. Jika seseorang individu itu mempunyai ibu bapa yang obes, kemungkinan besar untuk individu tersebut akan mewarisi obesitinya.
b)Gaya Hidup
Salah satu faktor yang lebih kuat ialah gaya hidup. Ibu bapa yang obes akan menurunkan gaya pemakanan yang tidak sihat itu kepada anak mereka. Contohnya jika pemakanan harian sesebuah keluarga itu terdiri dari pengambilan lemak yang tinggi maka anak tersebut akan turut mengambil makanan tersebut dan seterusnya menyebabkan obesiti.
c)Pemakanan
Kualiti makanan yang diambil juga merupakan penyebab obesiti. Makanan yang telah diproses kebanyakannya mempunyai kadar gula dan lemak yang tinggi. Obesiti boleh dielakkan dengan mengurangkan pengambilan makanan yang telah diproses seperti makanan segera, makanan dalam tin dan lain-lain lagi.
d)Kurang aktiviti senaman
Obesiti juga boleh disebabkan oleh kadar aktiviti yang kurang. Seseorang yang kurang bersenam dan kurang melakukan aktiviti lebih mudah untuk mendapat obesiti. Di dalam keadaan yang serba selesa pada masa kini juga boleh menyebabkan obesiti. Contohnya menonton televisyen, bermain video game, menggunakan komputer dan sebagainya.
e)Sakit
Di dalam kes-kes tertentu obesiti boleh disebabkan oleh sesuatu penyakit seperti hypothyroidism atau sindrom Cushing. Selain itu juga, pengambilan beberapa jenis ubat tertentu boleh menyebabkan obesiti.
Golongan yang menghidap Obesiti
Mempunyai berat badan sekurang-kurangnya dua kali lebih berat berbanding ukuran ideal;
Mempunyai berat badan sekurang-kurangnya 45 kilogram melebihi berat badan sepatutnya;
Indeks JisimBadan (BMI) melebihi 40 atau 35 (sila lihat di bawah untuk bagaimana mengira BMI);
Mengalami beberapa penyakit seperti tekanan darah tinggi atau diabetes (kencing manis); dan
Gagal mengekalkan berat badan yang sihat dalam jangka panjang sekalipun mengikut diet yang disarankan oleh pakar-pakar